Sunday, June 8, 2008

Punca-punca Lahirnya Golongan Jahiliyyah Arab

Bangsa Arab merupakan keturunan daripada Nabi Ibrahim A.S. melalui Nabi Ismail A.S. yang tinggal di Makkah. Bangsa ini merupakan suatu bangsa yang beribadat kepada Allah S.W.T, mengesakanNya dan taat secara bersungguh-sungguh dengan ajaran agama Nabi Ibrahim A.S. Dari Makkah, Bangsa Arab telah berkembang dengan pesat hingga ke seluruh Tanah Arab. Setelah masa berlalu (yakni setelah ratusan tahun), sedikit demi sedikit mereka mula melalaikan ajaran Nabi Ibrahim A.S. dan ketaatan kepada Allah S.W T. Lama kelamaan, yang tinggal dalam diri mereka hanyalah Tauhid Rububiyyah (yakni mempercayai bahawa ada tuhan yang menciptakan mereka) dan adat budaya yang boleh dikatakan berasaskan ajaran agama Nabi Ibrahim A.S.

Dalam kelalaian tersebut muncullah seorang ketua Bani Khuza'ah bernama Amr Bin Luhaiy. Dia merupakan seorang yang banyak berbuat amalan kebajikan dan bersedekah. Selain itu, dia juga berdakwah kepada orang ramai agar kembali kepada ajaran agama. Tindakannya itu amat disenangi oleh penduduk Makkah hinggakan setiap orang menyayanginya dan ingin mendampinginya. Mereka juga menganggapnya sebagai seorang 'Alim yang agung dan juga seorang wali (Saint).

Setelah beberapa lama menjadi sanjungan penduduk Makkah, dia telah berangkat ke negeri Syam. Di sana, dia telah melihat perlakuan penduduk Syam menyembah berhala. Tertarik dengan perlakuan penduduk Syam itu, dia pun membeli sebuah berhala untuk dibawa pulang ke Makkah. Ini adalah kerana dia beranggapan bahawa Syam merupakan bumi para anbiya' dan mungkin apa yang dilakukan oleh penduduk Syam itu ada kaitannya dengan ajaran para nabi di sana.

Sekembalinya Amr Bin Luhaiy ke Makkah, dia telah menggantungkan berhala yang bernama Hubul yang dibelinya di Syam itu di pintu Kaabah. Setelah itu dia telah memanggil semua penduduk Makkah dan menceritakan kepada mereka apa yang dilihatnya di Syam dan mengarahkan mereka menyembah berhala tersebut. Penduduk Makkah telah dengan rela hati menurut apa yang dikatakan oleh Amr Bin Luhaiy itu kerana selain ketiadaan ilmu, mereka juga beranggapan bahawa tidak mungkin seseorang yang berstatus wali sepertinya akan melakukan kesilapan apatah lagi menipu mereka.

Perlakuan penduduk Makkah ini tersebar dengan pantas ke seluruh pelusuk Hijjaz dan telah diterima dengan baik juga kerana penduduknya ketiadaan ilmu dan juga anggapan bahawa tidak mungkin penduduk Makkah - golongan penjaga Kaabah akan melakukan amalan yang mensyirikkan Allah.

Bila tiba musim haji (Haji merupakan suatu adat masyarakat arab yang lazim diamalkan), seluruh penduduk Hijjaz akan berkumpul di Makkah untuk mengerjakan tawaf di Baitullah. Masa ini digunakan sebaik-baiknya oleh Amr Bin Luhaiy untuk menyebarkan dakyahnya. Pada suatu hari, dia telah mengatakan bahawa dia telah bermimpi bahawa terdapat 3 lagi berhala tertanam di tempat-tempat berikut:-
  1. Berhala Manat berada tertanam di tepi pantai Laut Merah. (Berhampiran Jeddah pada masa sekarang)
  2. Berhala Lat berada di atas gunung di Ta'if.
  3. Berhala Uzza berada di Zatul Irq'. (Sempadan Arab Saudi dan Iraq pada masa sekarang)

Penduduk Hijjaz telah mempercayai kata-katanya dan telah keluar untuk pergi mencari ketiga-tiga berhala tersebut. Sebenarnya, sebelum menyatakan bahawa dia telah bermimpi tentang berhala tersebut, Amr Bin Luhaiy telah terlebih dahulu menanam berhala tersebut di tempat-tempat yang telah disebutkan.

Orang-orang yang mencari berhala telah berjumpa bdengan ketiga-tiga berhala yang telah disebutkan oleh Amr Bin Luhaiy lalu membawanya pergi ke Makkah dan diletakkan di sekeliling Kaabah. Penemuan ini telah menguatkan lagi kepercayaan penduduk Hijjaz terhadap Amr Bin Luhaiy. Pada musim Haji berikutnya, orang orang yang datang untuk mengerjakan haji telah merasakan bahawa dengan adanya 4 berhala telah memudahkan urusan haji mereka. Mereka tidak perlu lagi bersesak-sesak untuk menyembah 1 berhala.

Setelah 3 musim haji berlalu, Amr Bin Luhai telah menyatakan bahawa 4 berhala tidak lagi cukup untuk menampung pertambahan pengunjung ke Makkah lalu telah mengumpulkan sumbangan dan membina 360 berhala baru untuk diletakkan di sekeliling Kaabah. (Yang kekal berada di sekeliling Kaabah sehinggalah dimusnahkan ketika Pembebasan Kota Makkah)

Setelah itu, pada musim Haji yang keenam, dia telah membuat lebih banyak berhala. Tetapi pada kali ini, berhala-berhala ini tidak diletakkan di sekeliling Kaabah sebaliknya diagih-agihkan kepada mereka yang datang untuk mengerjakan Haji. Setelah para jemaah Haji tersebut tiba di tanah air masing-masing, mereka telah membina sebuah tempat khusus untuk meletakkan berhala tersebut yang menyerupai sebuah kuil dan ditutup dengan kelambu seperti Kaabah. tempat-tempat seperti ini telah menjadi pusat penyebaran syirik yang mempercepatkan penyebaran ajaran syirik ke seluruh tanah Arab.

Selain mengamalkan syirik dengan menyembah berhala, mereka juga mengamalkan bentuk-bentuk syirik yang lain yakni melukis gambar paera nabi yang datang selepas itu dengan tujuan menjadi perantara antara mereka dengan Allah S.W.T. PAda anggapan mereka, para nabi didatangi malaikat yang menjadi perantara antara mereka antaranya dan Allah S.W.T. lalu mereka melukiskan gambar para nabi agar segala doa mereka akan dapat sampai kepada Allah melalui para nabi dan tidak akan ditolak. (Syirik Tawassul)

No comments: